Kenapa buku healing tengah laku keras
“Kenapa budak-budak sekarang suka beli buku healing yang membazir kertas tu? Setakat sebaris dua je ayat, ayat biasa-biasa je pun!”
Ogos lepas, dek kerana wujud trend sesetengah golongan pembaca yang skeptikal terhadap buku healing, saya ada tulis tentang hal ini di hantaran Facebook saya.
Tapi hantaran itu pendek saja. Hari ini saya terinspirasi untuk berkongsi dengan lebih lanjut tentang pemerhatian saya; bagaimana buku healing boleh laku keras pada tahun 2023.
Kerana hal ini tidak bergantung kepada tahun ini. Bahkan tidak bergantung pada 5 atau 10 tahun sebelumnya, bahkan sebelum ‘budak-budak’ ini lahir lagi.
Kalau kita ambil contoh yang paling tua sekalipun, yakni pelajar berumur 17 tahun, kita akan dapati mereka lahir pada tahun 2006.
Mereka berumur 4 tahun pada 2010, satu era di mana telefon pintar mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Mereka berumur 8 tahun pada tahun 2014, satu era di mana ‘iPad kids’ mula menjadi kebiasaan, di mana ibu bapa belum jelas lagi tentang kelebihan dan keburukan screen time.
Mereka berumur 12 tahun pada 2018. Pada era ini, ibu bapa sudah faham tentang lebih jelas tentang kelebihan dan keburukan screen time, dan sudah mula mahu mengawal penggunaan gajet anak-anak mereka dengan lebih ketat.
Tetapi, anak-anak 2006 ini sudah memasuki usia remaja, dan penggunaan gadget sudah bersebati dalam kehidupan mereka, jadi ibu bapa pun tak mampu nak terlalu menghalang juga.
Seperti mana kita yang dewasa juga. Dulu telefon pintar pun kita tak tahu apa, tetapi sekarang hal kerja semua di WhatsApp. Ada aplikasi tertentu yang majikan kita minta pasang dalam telefon atas urusan kerja. Melalui Facebook juga, kita berjaya menjejak kembali rakan-rakan lama dan kembali bersosial dengan mereka.
Sama juga dengan mereka. Makluman tentang aktiviti penting sekolah, semua di WhatsApp. Sosialisasi mereka juga tinggi di media sosial. Apatah lagi jika kita ambil kira, mereka antara generasi yang membesar dengan amaran ‘stranger danger’, di mana hal ini membuatkan mereka kurang mencari kawan baru, dan lebih selesa berkawan dengan kawan-kawan sedia ada mereka.
Amaran ‘stranger danger’ datang daripada ibu bapa pada tahun 2006 yang masa itu takut dengan isu ‘van putih’, di mana kes penculikan kanak-kanak adalah antara kes yang popular dilaporkan di media dan akhbar. Jadi mereka ajarkan ‘stranger danger’ dengan niat supaya anak mereka menjauhi orang dewasa yang mereka tidak kenal.
Ya, hal ini berkesan. Namun, antara kesan lain juga apabila seseorang itu dibesarkan dengan amaran sebegini sejak kecil, ialah mereka tidak membuat rakan baru, dan selesa untuk berkawan yang mereka sudah sedia kenal. Tambah lagi dengan perkembangan teknologi yang membuatkan berhubung dengan kawan-kawan yang dikenali jauh lebih mudah, kedua-duanya ialah resepi yang sempurna untuk mereka mengekalkan ruang sosial mereka yang kecil.
Pada waktu ini, ibu bapa membebel kenapa mereka tak keluar rumah, dan tak reti bergaul dengan orang. Disalahkan gajet 100%. Walhal terdapat banyak faktor yang menyumbang terhadap trend sosial ini.
Pada tahun 2020, ketika pandemik melanda dunia, mereka berumur 14 tahun. Mereka berada pada umur yang sangat genting dalam tumbesaran mereka. Mereka memerlukan pendedahan kepada perkara baru secukupnya. Namun, zaman keremajaan mereka direnggut pandemik, dan memaksa mereka untuk duduk di rumah saja.
Mereka antara saksi depan mata, bagaimana orang dewasa sesama sendiri bergaduh. Bagaimana ibu bapa mereka sendiri dilanda stress, saat simpanan semakin berkurangan, saat pekerja-pekerja dibuang, saat rimas apabila terlalu lama duduk sebumbung dengan seseorang. Tak kisahlah sayang macam mana pun, seseorang itu perlukan jarak yang sihat terhadap orang yang mereka sayang juga.
Anak-anak ini, mereka tiada pilihan lain, selain daripada memendam rasa sendiri, dan menghadap lingkup sosial mereka yang kecil itu. Mereka sendiri bergelut dengan kesusahan kerja sekolah pada waktu pandemik, kekeliruan apabila orang dewasa sendiri keliru, dan pemberontakan dalam jiwa tatkala mereka mahu merasa semua benda tetapi terpaksa kekal dalam rumah saja. Tetapi mereka mahu meluah kepada siapa? Ibu bapa sendiri tengah stress, adik-beradik dan kawan-kawan semua ada masalah sendiri.
Pada tahun 2023, mereka berumur 17 tahun. Cuba anda bayangkan anda sebagai seorang umur 17 tahun. Yang membesar dalam ruang lingkup sosial yang kecil, yang ibu bapa tidak memahami kepentingan gajet dalam kehidupan anda dan hanya tahu menghukum semua remaja sama rata saja. Yang sangat penat melalui pandemik sebagai seorang remaja, bukan sebagai seorang dewasa yang sudah lengkap perkembangan minda mereka, yang merangkumi perkembangan emosi dan sosial juga.
Cuba bayangkan, setelah 3 tahun pandemik, anda merdeka. Dan anda berjalan-jalan di pusat membeli belah, satu perkara nikmat yang anda sangka anda takkan dapat laluinya lagi buat selama-lamanya. Anda masuk ke kedai buku, dan membelek buku-buku yang ada. Anda sangat teruja, kerana selama ini anda beli buku secara dalam talian saja, tidak dapat memegang buku secara terus.
Sebuah buku menarik perhatian anda. Anda gapai buku tersebut. Buku tersebut tidak sarat dengan teks. Cukup beberapa baris perkataan per halaman, yang memberikan kerehatan kepada mereka yang membacanya.
‘Ada aku yang sedang berpura-pura tersenyum, sampai ia tak lagi sebatas pura-pura.’ - Tentang Dewasa, Hafizul Faiz.
Anda menangis.
“Ya Allah, ada rupanya orang di luar lingkup sosial aku, yang faham dengan tepat apa yang aku lalui.”
Buku tersebut merupakan ruang, untuk anda memberi ruang kepada hati anda untuk bersedih. Untuk berehat. Seakan seseorang yang anda boleh luahkan hati anda, dan dia memberikan jawapan untuk mengakui kesusahan hati anda. Dan hampir untuk pertama kalinya dalam hidup anda, anda telah jumpa satu medium untuk anda bertemu dengan orang-orang baru dalam hidup anda, yang turut terkesan dengan kata-kata dalam buku tersebut. Kalau mereka juga terkesan, barangkali mereka juga faham dengan apa yang anda telah lalui.
Dan inilah tuan-tuan dan puan-puan, antara sebab mengapa buku healing tengah laku keras di Malaysia, dalam kalangan anak-anak kita.
Ini antara sebab kenapa buku Tentang Dewasa sangat laku keras, bahkan kepada para bukan pembaca lagi. Sebab hal ini bertepatan dengan apa yang Hafizul Faiz sendiri terangkan di Tentang Buku; kita menyasarkan bukan saja para pembaca, tetapi para bukan pembaca sekali sebagai pelanggan kita, dengan kita menebak jiwa dan perasaan mereka.
Jangan senang-senang judge anak-anak kita, tuan-tuan dan puan-puan. Jangan sangka mereka tak rasa berat dengan apa yang mereka lalui, hanya kerana mereka kanak-kanak dan kita dewasa.
'Healing.'
Bukan perkara picisan.
Itu yang anak muda kita sedang sangat perlukan.