Dunia Buku Malaysia - Surat Berita
Assalamualaikum & selamat sejahtera.
Saya Kelly, penulis konten dan buku sejak 2017. Kini bekerja secara bebas sepenuh masa, dalam penulisan konten dan ghostwriting.
Saya seorang introvert tegar, yang bergelut lagi dengan keresahan sosial (social anxiety). Hanya apabila berada dalam dunia buku, saya berasa selamat untuk menjadi diri saya. Hanya dengan orang-orang di industri buku, I feel like I’ve found my people.
Idea untuk buat surat berita (newsletter) untuk mengulas dunia buku Malaysia sudah lama ada dalam kepala saya, tapi saya biarkan saja. Sebab sebenarnya saya pun jenis tak suka newsletter ni. Saya selalu anggap newsletter ini antara emel-emel yang menyibuk dengan promosi-promosi tidak penting, di antara emel-emel yang perlu saya utamakan.
Sehinggalah saya menonton video Ali Abdaal tentang newsletter, yang mengubah persepsi saya.
Tentang bagaimana newsletter itu bukan menjual sebenarnya. Tentang newsletter itu sebenarnya boleh menjadi apa-apa saja yang saya inginkan.
Paling penting, bagaimana newsletter boleh membuka ruang kepada kenalan dan hubungan yang bermakna, kerana adanya aspek saling membalas emel. Hal ini sangat eksklusif, berbanding berbalas komen atau mesej di media sosial saja.
Kenapa Dunia Buku “Malaysia”?
Pulangnya saya daripada Tentang Buku menyedarkan saya tentang satu perkara. Yang hampir kesemua panel menyebutnya.
“Industri buku di Malaysia kecil saja sebenarnya.”
Hal ini boleh dilihat sebagai satu kelemahan, tetapi saya suka melihatnya sebagai satu kelebihan juga.
Industri yang kecil bermakna lebih senang untuk mengulas apa yang berlaku di dalamnya. Kita sudah tahu dan amalkan nilai-nilai Malaysia sendiri, daripada segi budaya, agama mahupun kepercayaan. Lebih senang untuk juga kita ke depan sebagai ‘familiar faces’ yang dipercayai oleh para pembaca, yang membuatkan mereka akan terus membeli dengan kita.
Dua sisi syiling yang berbeza, bukanlah satu itu lebih baik daripada kedua-duanya. Bahkan ada sisi syiling yang ketiga; kita akui pasaran tempatan yang tidak sebesar mana, lalu kita cuba mengoptimumkan pasaran sedia ada ini, dalam kita mencari usaha untuk mengembangkan lagi pasaran kita pada peringkat antarabangsa.
Saya tak ada ramai kawan lain di luar industri ini. Yang boleh saya membebel panjang tentang buku, industri penerbitan, teknik penulisan, pasaran buku, dan kegiatan pelanggan (consumer behavior) para pembaca buku.
Andalah kawan saya.
Maka, saya ingin mengajak anda; pembaca, penulis, editor, penerbit, dan orang-orang buku sekalian, untuk sama-sama langgan surat berita ini. Anda akan dapat tahu tentang pendapat dan pandangan saya tentang industri buku Malaysia, dan gunakan hal tersebut untuk memperbaik strategi anda dalam industri ini.
Jangan risau, saya tak spam, saya pun tak ada nak promosi apa-apa sangat. Saya pun tak suka dibuat begitu, takkanlah saya nak buat begitu dekat orang lain?
Saya cuma nak ada satu saluran untuk saya berkongsi apa yang saya tahu. Bonusnya, jika anda balas emel ini, anda boleh membuka ruang kepada hubungan yang bermakna dan peluang-peluang baru.
Itu saja matlamat saya; sharing & fostering connections.
Isikan emel dan tekan butang ‘subscribe’ sekarang!
Terima kasih kerana melanggan, jumpa anda di emel yang berikutnya :)